❝ Muslimah Rokes ❞
Home About Facebook Askfm Instagram follow
Dia yang teristimewa


Bismillah.
Tak ada apa pun, cuma nak kongsi sikit, throwback kisah-kisah yang pernah diriwayatkan ulama' terdahulu. Untuk menghidupkan kembali benih cinta yang pernah ditanam, meniupkan kembali angin kerinduan kepada jiwa-jiwa yang telah gersang...


Allah itu Maha Besar, bukan?
Dan siapa pun yang dekat dengan Dia yang Maha Besar, pasti akan membesarkan apa yang besar nilainya di sisi Dia yang Maha Besar. Maka siapa dia manusia yang paling besar?

Pasti dan pastinya dialah junjungan besar, kekasih hati kita, Baginda Nabi Muhammad SAW. Sesuai dengan kedekatannya dengan Dia yang Maha Besar, maka sebegitu besarlah nilainya di sisi Yang Maha Besar. Kerana kedekatannya itu, dia pun maklum akan kebesaran Tuhannya itu, maka dia pun memilih untuk membesarkan-Nya, mengagungkan-Nya, hidup hanya semata untuk-Nya, dan membesarkan semua yang berkaitan dengan-Nya. Bahkan membesarkan ciptaan-Nya sebagai hasil penghargaan kepada Sang Pencipta Segala, bukan kagum atas rupa bentuk semata.

Dimatanya tidak ada bezanya emas dan debu, si cantik atau si hodoh, si taat taat si pendosa, kerana Baginda mendapati Tuhan ada dalam semua.

Kerana itulah Baginda Nabi SAW menjadi manusia yang paling tinggi syukurnya. Walau pada saat hanya memakan roti gandum kasar, tidak pernah terkeluar dari mulutnya sebarang kata cela atau tidak suka.

Baginda Nabi SAW memuliakan semua, bahkan juga pada binatang. Teringat aku bait Qasidah Mahabbah Rasul...

"Seekor unta datang berlari-lari,
Berlutut dan mengucup kaki Nabi,
Mengalir air matanya menangisi,
Kerana rindu kepada Nabi...
Mengadu domba tentang badan sakit,
Kerja banyak makannya sedikit."

Mendengarkan hal itu, Baginda Nabi SAW meminta kepada pemilik unta itu untuk tidak membebankan unta itu kerja-kerja berat kerana dia sudah tua.

Bagaimana tinggi sifat rahmah Baginda Nabi SAW, hingga apabila Baginda Nabi SAW melihatkan seekor kucing yang hendak minum air dari gelas, tapi air dalam gelas tidak tercapai, lantas Baginda Nabi SAW mencondongkan sedikit gelas itu supaya boleh diminum.

Bahkan ketika Baginda Nabi SAW lagi sedang berjalan, mata indahnya akan sentiasa berjaga-jaga, bimbang kalau-kalau kakinya terpijak kawanan semut kecil yang sedang berjalan. Dijejakkan kakinya di tempat yang tidak ada semutnya. Sahabatku, sebesar manakah semut di jalanan? Allahurabbi.

Sebegitu indah akhlak dan budi pekerti Baginda Nabi SAW, walau hanya pada haiwan dan binatang melata. Apatah lagi kepada manusia seluruhnya yang diberikan amanah oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Muliakanlah siapa pun, kerana setiap makhluk itu punya kemuliaan. Ada nama-Nya dalam tiap-tiap ciltaan-Nya, ada kehendak-Nya dalam tiap-tiap makhluk-Nya.

Kata Ustazah Halimah AlAydrus,
Orang mulia itu tampak dari kemampuannya memuliakan orang lain. Dan orang yang hina tampak dari kecenderungannya menghina orang lain.

Bagaimana bisa, kita mendakwa kita berada dalam kemuliaan, kerana hadirnya kita dalam majlis ilmu dan segala, sedang hati kita memandang hina pada yang masih tidak hadir? Pada yang masih tidak melabuhkan tudung?

Seberapa mulia dirimu di sisi-Nya wahai sahabat? Solatmu, qobliah ba'diahmu, witirmu, tahajjudmu, wiridmu, qur'anmu, sempurnakah semuanya?

Usah begitu sahabat...
Bukankah cinta Dia yang kau damba? Lantas mengapa kau berpaling saat dunia memanggilmu?

Fokuslah pada Dia. Tetapkan hati dan akalmu. Buang perkara yang tidak berkaitan. Sunnah harian Baginda Nabi SAW, jangan sekali kau tinggalkan, walau hanya sekadar memakai selipar dengan yang kanan terlebih dahulu.

Buktikan cintamu...
Buktikan sayangmu...
Buktikan kerinduanmu...


Kerna Baginda telah banyak membuktikan segala kasihnya buat kita seluruhnya. Hingga mengalir deras darah mulia Baginda Nabi SAW saat berdakwah ke Taif. Di-reject dakwah Nabi mentah-mentah... Patah gerahamnya demi kita ummat Baginda...

Semuanya demi kita. Sebegitu dalam kasih Baginda Nabi SAW pada kita.


Ayuhlah sahabat, buanglah kemalasanmu. Semangatlah, melangkahlah, demi membalas segaka pengorbanan Baginda Nabi SAW. Kuatlah dalam menjaga ibadahmu. Supaya kelak kita bisa berlari kuat mendapatkan Baginda di syurga, dengan senyum yang indah terukir di wajah mulia Baginda Nabi SAW...

Kerna tidak ada yang lebih darinya,
Tidak ada yang terlebih istimewanya daripada dia yang teristimewa...



Sollu 'ala rasulillah.
Erti Cinta




Bismillah.
Haritu (beberapa minggu sebelum Ramadhan) ada majlis khatam quran dekat pondok. Ada bacaan doa-doa daripada kitab Naseem, dan ada tausiah daripada asatizah dan habaib.


Habib Mahdi datang bersama zaujahnya (isterinya) dan ibundanya. Zaujah habib tak pandai sangat cakap Melayu. Cuma tahu perkataan yang basic-basic, tapi masih belum mampu berbual fasih dalam Bahasa Melayu. Tapi bonda Habib lagi tak tahu Bahasa Melayu. Orang Yaman kan.


Nak dijadikan cerita, masa khatam quran tu, Bonda Habib duduk sebelah aku, sebab tak mahu ke depan (duduk di tempat yang dah disediakan di saf depan -- tempat vip). Malu barangkali. Zaujah Habib juga begitu, tapi kerana meraikan tuan rumah yang dah sediakan tempat, akhirnya zaujah Habib ke depan juga. Tapi bonda Habib tetap tak mahu duduk di depan. Dan beliau (kami panggil Hubabah) pilih untuk terus duduk di sebelah aku yang waktu itu aku duduk di tepi tempat laluan vip.


Sepanjang majlis beliau banyak memerhatikan jam tangan aku. Buat aku rasa serba salah. Nak bagi pada Hubabah, tapi jam tu aku dah pakai. Dan dah pernah rosak sekejap pun. Yang walaupun dah elok balik dah, tapi tetap aku berasa tak enaklah untuk bagi yang cenggitu. Jam RM20 je pun, bukan jam branded gshock ke icewatch ke rolex ke entah apa entah lagi nama brand tu ke apa. Brand cikai je.


Dan sepanjang majlis tu juga aku cuba karang ayat ayat dalam Bahasa Arab untuk aku cuba cakap dengan Hubabah. Fuh boleh tahan. Dengan nak cuba maintain tak terlepas follow up majlis, dengan kaki kanan aku yang dah sakit sebab dah tak mampu duduk tasyahud lama-lama macam dulu sebab ligamen koyak dulu tu, dengan nak fikir perkataan-perkataan Arab, memang mantap.


Tapi Alhamdulillah aku berjaya cuba. (Bolehlah untuk orang macam aku yang dah lama tinggalkan kelas Bahasa Arab). Dapatlah juga aku bercakap dengan Hubabah dalam Bahasa Arab. Borak panjang juga. Hubabah tanya memacam dekat aku. Aku jawab semampunya je. Beliau pun faham aku susah nak berbahasa Arab. Syukur beliau cuma guna Arab yang mudah (tapi itu pun aku dah gagap-gagap juga mengarang ayat aharhar). Tapi nak dipendekkan cerita, sudahnya aku hadiahkan jam tangan aku pada Hubabah, dan aku pakaikannya pada tangan Hubabah.


Dan ini bahagian yang paling menyentuh hati aku sampai sekarang, sampai aku tak berhenti blushing bila teringat hari indah ni.


Hubabah punya reaksi masa aku hadiahkan jam tangan tu pada beliau, punya suka sampai Hubabah peluk aku bukan main erat, diciumnya kepala aku, dahi aku kiri kanan, pastu dicium pulak kening aku. Dan dalam keadaan aku masih dipeluk Hubabah tu, Hubabah tanya siapa nama aku. Maka aku segara beritahu pada Hubabah, dan Hubabah terus bisik ke telinga aku mendoakan aku secara khusus. Doa-doa Hubabah adalah doa yang selama ni aku panjatkan pada Dia. Cita-cita aku, Hubabah sebut hampir kesemuanya.
Betapa aku rasa, Allahurabbi... Habis doa Hubabah cium dahi aku sekali lagi, digenggam erat tangan aku. Habis tu Hubabah tepuk tepuk belakang aku perlahan, seakan tepukan itu menghilangkan segala kegundahan aku. Aku rasa macam nak rebah ke bumi. Bahagia dia tu, Ya Allah cukup indah....


Aku punya bahagia dan terharu tu, sampai menggeletar badan. Allahurabbi. Bahagia dia tu cukup untuk buat aku tak mampu tidur qailulah lepas majlis tu. Cukup untuk buat aku tersenyum-senyum sepanjang hari, bahkan sampai ke hari ini, bila aku pandang tangan kanan aku, tempat aku pakai jam tangan aku tu, aku tak boleh kawal diri daripada berhenti tersenyum-senyum sendiri.


Lepastu dapat pula berita yang Hubabah nak balik ke Yaman balik Syawal nanti. Besar harapan aku agar beliau bawa sekali jam tangan aku tu ke sana. Dan aku berharap moga nanti bila tiba masa aku ke sana nanti, aku jumpa lagi Hubabah dengan jam itu masih di tangan beliau. (Tinggi kan angan-angan aku?)


Semoga bila Hubabah tengok jam tu, Hubabah teringat pada aku dan mendoakan aku. Moga-moga.


- - -


Bahagia aku bila dapat tengok betapa Hubabah sangat gembira dengan apa yang aku buat, cukup untuk buat aku tersenyum-senyum sendiri sampai ke harini.


Itu baru Hubabah, seorang daripada ahlul baiti Rasulillah SAW. Belum ahlul kisa'. Belum baginda Nabi SAW sendiri.


Sekarang baru aku dapat agak sikit, dapat faham SIKIT bagaimana gembiranya bukit Uhud bila Baginda Nabi SAW ada di belakang, sampai bergoncang bukit tu sebab terlalu gembira, excited yang terlampau bila Nabi ada dekat belakang dia.


Bagaimana cintanya Saidina Tsauban pada Baginda Nabi SAW. Bagaimana para sahabat berasa seolah merekalah yang paling disayangi oleh Baginda SAW dek kerana layanan Baginda SAW yang sangat sarat dengan kasih sayang.


Sampai ada seorang sahabat tanya kepada Rasulullah SAW, siapa yang paling Baginda SAW paling kasihi dalam kalangan sahabat. Sahabat tu berasa dialah yang paling Baginda SAW sayangi sebab layanan Baginda SAW sangat luar biasa. Tapi ternyata tidak. Baginda Nabi Muhammad SAW secara peribadinya lebih menyayangi sahabat yang empat, iaitu khulafa' ar-Rasyidin.


Fikir bagaimana hebat layanan Baginda Nabi SAW pada orang yang biasa -- bukan sahabat karib Baginda, bukan sahabat yang paling disayangi, tapi sahabat tu boleh rasa seolah dialah yang paling Baginda Nabi SAW sayang. Hingga akhirnya sahabat yang tanya tu kata itulah hari yang paling menyesal dalam hidup dia. Punya menyesal tanya. Ha gitu.


Sebegitu indah akhlak Baginda Nabi SAW. Cukup indah, cukup halus, cukup hikmah.


Cairnya hati aku ni dengan akhlak Hubabah haritu tu, yang kalau diikutkan aku cuma stranger je pada Hubabah, tapi tetap aku ini dilayan dengan kelembutan tutur kata dan perilaku yang MashaAllah tabarakallah. Seolah aku ini anak cucu beliau. Akhlak yang ada pada beliau, buat aku teringat sesuatu.


Benar apa yang aku dengar selama ini. Kalau nak tengok akhlak Rasulullah SAW, boleh tengok akhlak orang Yaman bagaimana. Senyum mereka. Tutur kata mereka. Lemah lembut mereka, Allahurabbi. Buat Hubabah gembira hanya kerana pemberian yang sedikit tu, cukup membahagiakan hati aku.


Lalu cuba difikirkan, itu baru menggembirakan cucu cicit baginda SAW. Bagaimana sekiranya kita membuatkan Baginda Nabi SAW sendiri gembira dengan amalan kita? Dengan perjuangan kita yang cuba istiqamah beramal dengan sunnah-sunnah baginda Nabi SAW? Dengan effort kita yang cuba belajar kitab-kitab Syamail Muhammadiah untuk kenal siapa Baginda Nabi Muhammad SAW? Dengan sabar kita dalam cuba maintain berselawat setiap hari?


Tidakkah kalian berasa gembira melakukan itu semua kerana dapat melihat Baginda Nabi SAW senyum melihat kita berusaha keras demi Baginda?


Bagaimana menggembirakan hati seorang muslim dikira sebagai pahala, lebih-lebih lagilah sekiranya insan itu adalah sebaik-baik manusia dan sebaik-baik ciptaan, Baginda Nabi Muhammad SAW.



- - - -


بُشرَى لنا نِلْنَا المُنَى ٠ زَالَ العَنَى وَفَالهَنَا
وَالدَّهْرُ اَنْجَزَ وَعْدَهُ ٠ وَالبِشْرُ اَضْحَى مُعْلَنَا
يا نَفْسُ طِيبِي بِاللقَاء ٠ يا عَينُ قُرَّى أَعْيُنَا
هذا جَمَالُ المصطفى ٠ اَنْوَارُهُ لَاحَتْ لَنَا




*petikan Qasidah Busyro Lana


 - - -


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وأزواجته وذريته.


Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala aalihi wa as-hoobihi wa azwajihi wa zuriyyatih.


- - -


Berbahagialah jiwa-jiwa yang merindui senyuman indah Baginda Nabi SAW,
Yang tenggelam dalam lautan cinta pada Baginda Nabi SAW hingga mengalir air matanya bila terdengar bait-bait qasidah,
Yang juga ditulis dari jiwa-jiwa yang sangat merindui Baginda Nabi SAW.


Berbahagialah insan yang setiap amalan hariannya adalah mengikuti sunnahnya,
Yang dilakukannya hanya semata atas kata nama cinta,
Hingga tidak terasa beban langsung di bahunya,
Kerna memang hatinya suka, cinta, malah bahagia untuk melakukannya.


Berbahagialah insan yang pabila jatuh semangatnya,
Akan segera naik kembali semangatnya bila terkenangkan segala pengorbanan Baginda Nabi SAW.


Yang siang dan malamnya,
Jaga dan tidurnya,
Sihat dan sakitya,
Lapar dan kenyangnya,
Hanya akan teringatkan Baginda Nabi Muhammad SAW.





Ini, yang dinamakan cinta.
Apa erti cinta padamu?
Enggang





Dia jauh di sana. Tinggi.
Terbang tinggi di langit, dia sangat sibuk mengutip dan menggilap segala bintang yang ada di langit. Yang besar, yang kecil, semuanya dijaganya rapi. Dipetiknya dengan penuh kasih dan hikmah, hingga cahaya bintang itu jatuh ke dalam hatinya. Maka terpancarlah dengan begitu terang dan jelas pada dirinya cahaya ilmu, akhlak si penuntut ilmu, bicara hikmah orang yang berilmu, cinta si penuntut ilmu pada yang berilmu, dan cinta pada kekasih yang Maha Memiliki segala ilmu. Sebegitu terang dia di atas sana.




Dan aku, masih di sini. Masih di bumi. Khayal bermain pasir. Mahu segera berenang di lautan ilmu, tapi diri sendiri pun belum kuat untuk berenang. Nak dibuatkan kapal pun berlubang sana berlubang sini senget sana senget sini kerana tidak pandai bertukang. Belum lepas lagi tahap pertama. Hanya terbeban memikirkan luasnya laut yang terbentang, jauhnya perjalanan di hadapan itu hingga selalu saja aku rebah ke bumi. Walhal belum ke laut pun lagi. Aku kalah dengan diriku sendiri.




Kerap saja aku melangut ke atas melihat langit, mengimpikan segala bintang yang ada di sana dapat aku kutip dan disemat kemas dalam dada. Aku jujurnya cemburu dengan dia. Beruntungnya dia dapat terbang ke atas sana. Terbang bebas di awanan impian dan cita. Melebarkan sayap sepuasnya menikmati udara di sana.




Begitu dekat dengan Dia, kerana dimatanya dunia ini sudah menjadi kecil, tidak pula hatinya terpesona dengan indahnya dunia kerana dia sudah nampak yang di atas sana berganda jauh lebih indah. Apalah ertinya dunia ini padanya.




Dalam aku sedang asyik memerhati dia di atas sana, aku juga sedar yang kaki ini masih bertapak di tanah. Masih termangu-mangu apa yang perlu aku lakukan selepas ini. Walhal sudah banyak kali diajar begini dan begini caranya. Tapi tetap saja aku dengan fikiran aku, dengan dunia aku. Mahunya ke sana, tapi sekadar mahu. Usahanya sedikit sekali. Belum habis tenaga dikerahkan, belum luak masa diperuntukkan, tapi aku sudah lemah terbaring di bumi. Perlukan rehat kata nafsu. Hingga akhirnya hembusan nafas kepenatan saja yang kedengaran. Seronoknya menjadi dia, gumam ku sendiri. Cemburunya aku pada dia memang Tuhan saja yang tahu.




Ah... Tapi bukan sekadar itu saja ceritanya.
Ada satu lagi perkara yang sudah tertanam lama di dasar hati yang paling dalam.






Hatiku ini begitu tertarik pada dia. Itulah yang kadang menguatkan aku dan kadang juga melemahkan aku. Aku ingin jadi seperti dia yang sangat asyik terbang di awanan ilmu yang luas terbentang, diterokanya setiap inci ilmu itu tanpa sedetik pun jeda. Aku ingin jadi seperti itu. Sikit pun tak berasa penat kerana cintanya yang mendalam pada ilmu. Tak dihirau segala benda dunia yang berlalu-lalang di hadapannya. Mata kasarnya dan mata hatinya, tetap akan sentiasa terpaut pada ilmu yang ada. Begitulah sifatnya dia yang begitu menarik perhatian aku.




Tapi bilamana perasaan berharap pada dia itu mulai datang, aku jadi lemah memikirkan aku ini siapa dan dia itu siapa. Kerana aku tahu, manakan mungkin enggang akan terbang sama tinggi dengan pipit.




Cukup kau jadikan dia sebagai contoh ikutan, bukan sebagai yang dicintakan, kata akalku kepada hati. Tapi ternyata hati ini degil. Acap kali cuba aku timbuskan perasaan itu dengan menyibukkan diri dan segala, tapi ternyata ia tertimbus di dasar hati yang paling dalam, hingga ia cukup untuk menggetarkan seluruh jiwa bilamana datang kerinduan.
 
Hingga kadang aku jadi begitu benci kepadanya. Kenapa harus pada waktu begini. Kenapa harus aku ada perasaan seperti ini pada waktu-waktu begini. Lemahnya aku hingga akhirnya kiriman doa saja yang mampu aku titipkan dalam diam. Cukup pada Dia aku meluahkan segala rasa kerinduan. Pada Dia aku adukan tentang sakitnya perasaan ini, tentang bencinya aku pada perasaan seperti ini pada waktu-waktu begini. Pada Dia juga aku pohonkan keampunan kerana adanya makhluk di hati ini, yang sepatutnya aku letakkan Allah dan Rasul-Nya saja di hati ini.
























Ya Tuhan....






- - - - -








Kau enggang. Dan aku pipit.

Walau sebesar mana perasaan ini ada di dalam hatiku ini, aku tetap sedar, kau pasti menginginkan laksana cenderawasih. Dan pada saat itu aku hanya diam di kejauhan, dan hanya akan tunduk mengutip kepingan hati yang berkecai dan berlalu pergi. Kerana memang silap aku juga kerana berani untuk mencintai yang tidak selayaknya.






Senyum aku melihat kau di sana
Dalam deras air mata yang mengalir
Satu yang aku panjatkan pada-Nya
Semoga kau bahagia.
















- - - - - - -




p.s:



Teringat aku kisah Di Bawah Lindungan Kaabah tulisan Buya Hamka. Umpama cintanya Hamid pada Zainab. Dan umpama permintaan Zainab yang meminta pada Hamid supaya di doakan supaya dia menikah dengan orang yang dia cintai dan mencintainya.


- - - - - - - -

Pondok


Bismillah.
Sebab ramai yang tanya aku sistem dekat pondok aku ni cemana apa semua, jadi biar aku jawab dekat sini je lah ye kawan-kawan. Pondok aku, gabung alimah dengan hafizah. Standard dekat sini belajar, 4 tahun (unuk tumpu hafazan Al-Qura'an dan syahadah (kalau mampu) 30 juzu' Al-Qura'an). Dan setakat ni, yang syahadah semua 30 juzu' straight satu hari. Maksudnya kau baca tanpa tengok 30 juzu' tu, habiskan dalam masa satu hari.

Setahun lepas tu adalah tahun persediaan (fokus dekat pengajian kitab), lepastu sambung ke Yaman lagi 4 tahun, atau ke Mesir atau Jordan, terpulang. Tapi sebab murobbi aku dulu dapat banyak tarbiah di Yaman, beliau lebih galakkan kami untuk belajar di Yaman dulu baru ke tempat lain.

Kenapa?
Sebab tarbiah dekat Yaman buat kau cinta akhirat lebih. Dengan suasana masyarakat di sana yang MashaAllah, kota sejuta wali, dengan adab dan akhlak yang sangat tinggi, benda tu nanti akan jadi bekal buat kitaorang bila nanti keluar sambung ke tempat lain. (Tolong faham, setiap tempat ada kekuatan yang tersendiri. Aku bukan nak merendahkan mana-mana tempat. Ikutkan hati aku pun, aku lebih nak belajar di Mesir berbanding Yaman. Tapi takpe, tengok je lah nanti cemana.)

Itu secara kasarnya, begitulah perjalanan dekat sini. Cuma ada lagi beberapa perkara kecil yang aku nak semua tahu.

Pondok aku, pondok moden. Jadinya dekat sini, ada pakaian rasmi sekolah, ada ID Card, ada lencana, ada kasut sekolah, ada jadual kedatangan, buku rekod, ada exam dan segala. Lengkap macam sekolah biasa. Ada barisan ketua pelajar, ada staff, ada guru hafazan, ada guru kitab, ada AJK Kuliah Dhuha (kelas dewasa) dan macam-macam lagi.

Dan nanti, pelajar lelaki boleh ambil STAM juga dekat situ. Dan semestinya, cuti budak pondok tak sama dengan semua. Nama pun swasta. Kalau untuk pondok aku, cuti setiap 2 bulan ada 3 hari. Dan kemudian cuti hari raya aidil fitri, dua minggu, cuti aidil adha, 2 minggu, cuti hujung tahun (macam kalini) 3 minggu (lama gila wehhhh).

Kena faham, aku menghafal qura'an. Cuti tu tak boleh lama-lama, sebab mengulang qura'an dekat pondok dengan dekat rumah tu tak sama kualitinya. Godaan dia banyak. Dan kitaorang pun iman tak sado mana nak lawan semua tu huhu.

Tapi apa pun, aku nak semua tahu, pondok pun boleh ke depan. Tak bermakna aku belajar dekat pondok, aku kuno. Tak. Bahkan sebenarnya yang mengaji dekat pondok ni lah yang dapat hakikat sesuatu perkara, yang dapat adab dan akhlak. Bukan semata ilmu yang tinggi-tinggi.

Susah untuk aku terangkan. Siapa yang pernah merasa mengaji dekat pondok je boleh faham. Cuma aku berharap, kau yang duduk dekat luar tu (maksud aku luar daripada pondok, duduk rumah sewa, duduk kolej dan yang seumpamanya), tak mengaji dekat pondok macam aku, kalau ada daurah dekat mana-mana pondok tu, pergilah. Belajar. Ambil pengalaman sebanyak mungkin. Belajar adab. Benda yang kau takkan dapat dekat mana-mana universiti atau kolej, adalah adab. Adab yang diajar dekat pondok-pondok, sangat tinggi. Hatta aku yang belajar dekat pondok sendiri pun, masih dikira tak beradab molek lagi. Kalau dekat Yaman, lagilah jauh sekali... fuh.

Bukan aku nak bangga diri ke apa, tak. Aku nak kau faham. Kau yang dekat luar tu banyak dugaan, banyak godaan. Terdedah dengan benda-benda yang melemahkan iman. Aku sebagai beginner, tak mampu untuk semua tu. Jadi aku memang salute habis masyarakat yang masih mampu dengan tarbiah Islam dalam keadaan masyarakat sekarang yang rosak kritikal. Teruskan tarik mereka. Kuatkan diri. Bantu umat ni.

Kau yang dah dekat jalan tu, terus jalan. Terus pergi pada Allah dan Rasul-Nya dengan cara kau. Aku dengan cara aku. Masing-masing dengan fungsi masing-masing. Yang penting tujuannya tetap sama, Dia Yang Maha Esa.

Last but not least, doakan aku kuat.
About

❝ Jangan hanya kerana dunia yang bersifat sementara ini, kita korbankan Akhirat yang selamanya.❞


P.s; entri dekat sini semua marhaen je. Sekejap guna saya, sekejap guna aku. Kalau ada yang salah minta tolong tegur supaya boleh diperbetulkan. Terima kasih.
Tagboard
Leave your comments, critics and thoughts here, so that I can improve myself in a better life, InshaAllah :)
Be Honest


Credits
Layout by mymostloved, brushes and background.