❝ Muslimah Rokes ❞
Home About Facebook Askfm Instagram follow
Cerpen : Ke Bandar Akhirat.


"Selamat kembali ke tanah."

Kata-kata itu terukir indah di pintu masuk Hotel Nikmat Barzakh yang bertaraf lima bintang itu. Bagasi aku kecil sekali. Hanya ada sepersalinan baju. Dompet aku kering. Yang ada hanya seekor lalat tua yang hanya menanti saat dia bisa menghembuskan nafas terakhirnya kerana terseksa dengan dompetku yang hanya ada beberapa kepingan fulus amalan.

Diingatkan kembali, aku ke sini setelah aku bertarung nyawa dengan Si Sakaratul Maut itu. Menangnya aku sipi-sipi. Mahu tidak mahu aku harus bergerak menuju ke bandar Akhirat. Bagaimana pun, aku harus melintasi bandar Barzakh ini dahulu. Khabarnya, sebelum ke Barzakh perlu selesaikan hutang dahulu. Hutang dengan Tuhan. Aduh. Bala lagi.

Aku terus berjalan. Mataku tertancap pada dua susuk tubuh itu.

Kelihatan dua pekerja hotel itu memerhati aku dari kejauhan, aku jadi malu-malu. Seorang namanya Munkar, seorang lagi namanya Nakir. Mereka berdua kacak sekali dengan pakaian seragam yang serba putih itu.

Munkar bertanya pada aku,

"Sebelum kau masuk ke sini, apa bekal mu?"

Aku tetap saja diam. Tanganku lembut memegang dompet aku yang kering. Bagaimanapun jua, aku harus bermalam di sini. Nakir lalu bersuara melihatkan aku diam. Katanya,

"Ini hotel lima bintang. Jika kau mahu layanan istimewa, sediakan duitnya. Kata orang dunia, no money no talk."

Aku telan air liur. Terasa seperti menelan batu besar. Oh Tuhan. Apakah ini nasib aku. Munkar kelihatan geram melihatku yang hanya diam membisu tapi bertukar-tukar mimik wajah. Maka dia berkata,

"Jika kau tidak punya duit, aku tahu hotel mana yang layak untuk kau. Hotel Seksa Barzakh. Seperti yang kau dapat lihat, di belakang kau itu ada sebatang sungai jernih. Lintasi sungai itu, jalan beberapa tapak ke hadapan dalam kabus tebal itu, kau akan sampai di Hotel Seksa Barzakh."

Aku telan air liur kembali. Kali ini rasanya seperti menelan pisau tajam yang kecil. Aku melangkah melintasi sungai yang jernih itu. Kepala ku sempat menoleh kembali ke Hotel Nikmat Barzakh itu. Kelihatan seseorang yang berpakaian kemas dengan bagasinya yang banyak sekali memasuki hotel itu dengan gembiranya. Senangnya hidup dia. Tidak perlu menginap di Hotel Seksa Barzakh ini dahulu untuk ke Hotel Nikmat Barzakh. Pasti hidupnya senang sepanjang dia mahu ke bandar Akhirat.

Aku kini tiba. Samar-samar aku dapat lihat Hotel Seksa Barzakh itu. Jelek sekali seni ukirannya. Hanyir sekali. Lidah manusia bertaburan di situ. Usus-usus yang telah hancur dapat ku lihat tergantung di tingkap hotel itu. Bola-bola mata enak sahaja dipijak pekerja hotel itu. Dahsyat.

Untuk kali yang ketiga aku menelan air liur dengan perit. Munkar menyapa aku dari situ,

"Kau menginap di sini dahulu ya baru ke Hotel Nikmat Barzakh? Berapa lama? Sampai makhluk dunia bertemu dengan Dajjal itu ya? Tunjukkan aku buku rekodmu hai Manusia."

Aduh Tuhan. Buku rekodku. Banyak sekali yang kredit. Ah. Tidak. Pasti aku bisa menanti kiriman daripada mereka di bandar Dunia Fana sana. Pasti.

"Ah sudahlah. Kau masuk sahaja di hotel ini." kata Nakir kepadaku.

Bahangnya terasa. Peritnya juga terasa. Seksa ini, AllahuRabbi!


Tuhan! Selamatkan aku!


Tiada guna.
Jeritanku hanya sepi.



Dan kini.
Aku masih menanti kiriman dari sesiapa yang masih menetap di Bandar Dunia Fana. Kiriman yang membolehkan aku menginap di Hotel Nikmat itu, dan terus ke Bandar Akhirat. Jika bernasib baik, dapatlah aku menetap di Bandar Metropolitan yang terkaya dan terindah, tercantik dan segala ter, Syurga Firdaus.

Apa mereka lupa terus pada aku? Memang tidak ada langsung kiriman wang fulus pahala buatku disini? Aduhai Illahi.


"Sudahlah. Kau itu berangan sahaja. Lekas. Ini, Gunting Neraka buat kau. Potong lidah kau sekarang. Serahkan pada aku. Kau tidak jaga langsung lidah itu. Sia-sia Tuhan beri pinjam pada kau. Dasar manusia tidak mengenang budi!" tengking Munkar pada ku.

-------

-Adawiyah Md Hazali.
2 Januari 2014.
Khamis. 5:05 pagi.


//Maaf. Tidak terkira kekurangan cerpen ini. Hanya cerpen mengarut yang kedua. Komentar dari kalian amat diperlukan.

About

❝ ما لنا مولًى سِوَى الله❞


P.s; entri dekat sini semua biasa je. Lebih pada coretan, curhat dan bebelan Adawiyah je rasanya aha. Sorry for the messy-random-thoughts here. Kalau ada yang salah minta tolong tegur supaya boleh diperbetulkan. Tau?Terima kasih!

Eh, oh ya! Doakan saya. Walaupun tak kenal ke tak rapat ke malu ke apa ke, doakanlah saya. Hehe, terima kasih! ^.^

Selamat membaca!
Tagboard
Leave your footprints, comments, critics and thoughts here, so that I can improve myself in a better life, InshaAllah :)
Credits
Layout by mymostloved, brushes and background.