❝ Muslimah Rokes ❞
Home About Facebook Askfm Instagram follow
Enggang




Dia jauh di sana. Tinggi.
Terbang tinggi di langit, dia sangat sibuk mengutip dan menggilap segala bintang yang ada di langit. Yang besar, yang kecil, semuanya dijaganya rapi. Dipetiknya dengan penuh kasih dan hikmah, hingga cahaya bintang itu jatuh ke dalam hatinya. Maka terpancarlah dengan begitu terang dan jelas pada dirinya cahaya ilmu, akhlak si penuntut ilmu, bicara hikmah orang yang berilmu, cinta si penuntut ilmu pada yang berilmu, dan cinta pada kekasih yang Maha Memiliki segala ilmu. Sebegitu terang dia di atas sana.

Dan aku, masih di sini. Masih di bumi. Khayal bermain pasir. Mahu segera berenang di lautan ilmu, tapi diri sendiri pun belum kuat untuk berenang. Nak dibuatkan kapal pun berlubang sana berlubang sini senget sana senget sini kerana tidak pandai bertukang. Belum lepas lagi tahap pertama. Hanya terbeban memikirkan luasnya laut yang terbentang, jauhnya perjalanan di hadapan itu hingga selalu saja aku rebah ke bumi. Walhal belum ke laut pun lagi. Aku kalah dengan diriku sendiri.

Kerap saja aku melangut ke atas melihat langit, mengimpikan segala bintang yang ada di sana dapat aku kutip dan disemat kemas dalam dada. Aku jujurnya cemburu dengan dia. Beruntungnya dia dapat terbang ke atas sana. Terbang bebas di awanan impian dan cita. Melebarkan sayap sepuasnya menikmati udara di sana.

Begitu dekat dengan Dia, kerana dimatanya dunia ini sudah menjadi kecil, tidak pula hatinya terpesona dengan indahnya dunia kerana dia sudah nampak yang di atas sana berganda jauh lebih indah. Apalah ertinya dunia ini padanya.

Dalam aku sedang asyik memerhati dia di atas sana, aku juga sedar yang kaki ini masih bertapak di tanah. Masih termangu-mangu apa yang perlu aku lakukan selepas ini. Walhal sudah banyak kali diajar begini dan begini caranya. Tapi tetap saja aku dengan fikiran aku, dengan dunia aku. Mahunya ke sana, tapi sekadar mahu. Usahanya sedikit sekali. Belum habis tenaga dikerahkan, belum luak masa diperuntukkan, tapi aku sudah lemah terbaring di bumi. Perlukan rehat kata nafsu. Hingga akhirnya hembusan nafas kepenatan saja yang kedengaran. Seronoknya menjadi dia, gumam ku sendiri. Cemburunya aku pada dia memang Tuhan saja yang tahu.

Ah... Tapi bukan sekadar itu saja ceritanya.
Ada satu lagi perkara yang sudah tertanam lama di dasar hati yang paling dalam.

Hatiku ini begitu tertarik pada dia. Itulah yang kadang menguatkan aku dan kadang juga melemahkan aku. Aku ingin jadi seperti dia yang sangat asyik terbang di awanan ilmu yang luas terbentang, diterokanya setiap inci ilmu itu tanpa sedetik pun jeda. Aku ingin jadi seperti itu. Sikit pun tak berasa penat kerana cintanya yang mendalam pada ilmu. Tak dihirau segala benda dunia yang berlalu-lalang di hadapannya. Mata kasarnya dan mata hatinya, tetap akan sentiasa terpaut pada ilmu yang ada. Begitulah sifatnya dia yang begitu menarik perhatian aku.

Tapi bilamana perasaan berharap pada dia itu mulai datang, aku jadi lemah memikirkan aku ini siapa dan dia itu siapa. Kerana aku tahu, manakan mungkin enggang akan terbang sama tinggi dengan pipit.

Cukup kau jadikan dia sebagai contoh ikutan, bukan sebagai yang dicintakan, kata akalku kepada hati. Tapi ternyata hati ini degil. Acap kali cuba aku timbuskan perasaan itu dengan menyibukkan diri dan segala, tapi ternyata ia tertimbus di dasar hati yang paling dalam, hingga ia cukup untuk menggetarkan seluruh jiwa bilamana datang kerinduan.
 
Hingga kadang aku jadi begitu benci kepadanya. Kenapa harus pada waktu begini. Kenapa harus aku ada perasaan seperti ini pada waktu-waktu begini. Lemahnya aku hingga akhirnya kiriman doa saja yang mampu aku titipkan dalam diam. Cukup pada Dia aku meluahkan segala rasa kerinduan. Pada Dia aku adukan tentang sakitnya perasaan ini, tentang bencinya aku pada perasaan seperti ini pada waktu-waktu begini. Pada Dia juga aku pohonkan keampunan kerana adanya makhluk di hati ini, yang sepatutnya aku letakkan Allah dan Rasul-Nya saja di hati ini.
























Ya Tuhan....

- - - - -

Kau enggang. Dan aku pipit.

Walau sebesar mana perasaan ini ada di dalam hatiku ini, aku tetap sedar, kau pasti menginginkan laksana cenderawasih. Dan pada saat itu aku hanya diam di kejauhan, dan hanya akan tunduk mengutip kepingan hati yang berkecai dan berlalu pergi. Kerana memang silap aku juga kerana berani untuk mencintai yang tidak selayaknya.

Senyum aku melihat kau di sana
Dalam deras air mata yang mengalir
Satu yang aku panjatkan pada-Nya
Semoga kau bahagia.

About

❝ ما لنا مولًى سِوَى الله❞


P.s; entri dekat sini semua biasa je. Lebih pada coretan, curhat dan bebelan Adawiyah je rasanya aha. Sorry for the messy-random-thoughts here. Kalau ada yang salah minta tolong tegur supaya boleh diperbetulkan. Tau?Terima kasih!

Eh, oh ya! Doakan saya. Walaupun tak kenal ke tak rapat ke malu ke apa ke, doakanlah saya. Hehe, terima kasih! ^.^

Selamat membaca!
Tagboard
Leave your footprints, comments, critics and thoughts here, so that I can improve myself in a better life, InshaAllah :)
Credits
Layout by mymostloved, brushes and background.